20 December 2009

APALAH NASIB KITA

Cuti winter sudahpun bermula. Hari ini penat dengan membuat kerja-kerja rumah. Aish, teringat akan Ummi (gelaran bagi ibu penulis) di rumah. Terlintas di minda ini, adakah wujud perkataan 'penat' atau 'letih' dalam diri seorang perempuan yang bergelar ibu sepanjang mengurus keluarganya? Sepanjang penulis berada dalam jagaan Ummi yang penuh kasih sayang, tidak pernah sekalipun penulis mendengar Ummi merungut kerana letih dan penat kerana mendidik dan menjaga penulis dan adik-beradik yang lain. Penulis yang hanya melakukan sedikit sahaja daripada kerja-kerja yang dilakukan oleh seorang ibu inipun dah terasa penat-penat badan dan banyak complain. Sayang Ummi!

By the way
, kali ini penulis bukan nak menulis tentang ibu, tetapi sesuatu yang berkaitan dengan keluarga juga, baik untuk ibu bapa mahupun anak-anak.

TADABBUR VIDEO

Pada waktu cuti ini, banyak pula masa yang diluangkan di hadapan komputer. Sambil-sambil melayan video-video di YouTube dan blog-blog, penulis terasa terpanggil untuk 'mentadabbur' beberapa video bersama anda semua. Sebelum kita mulakan sesi 'tadabbur' video kita pada kali ini, penulis nak mengingatkan agar kita mulakan dengan basmalah dan melihat dengan mata hati dan akal, OK? Lagi satu, tengok sampai habis ya, jangan tengok separuh-separuh sahaja. Hihi...

Baiklah, kita mulakan dengan video pertama kita.



Best tak suara dia? Mesti anda terpegun dengan kelunakan suara dia. bukan? Walaupun usianya masih muda, suara dia memang best gila-gila la. MasyaAllah... Nak tahu siapa si budak kecil itu? Qari cilik dalam video di atas bernama Hasan bin Abdullah Al Awad, anak lelaki kepada kepada Imam Besar Masjid Al-Iman bi Aziziyyah, Jeddah.

OK, sekarang, moh kita tengok video yang kedua. Dah ready? Jom tengok!



Video ketiga pula...



Menyusul pula video yang keempat...



Ha, amacam? Bagaimana perasaan anda? Ha, apa? Best? Sedih? Memang sedih bila tengok realiti kehidupan kanak-kanak Palestin, kan? Emm, kalau bagi mereka yang dah tengok video ini ataupun video-video yang seumpama ini, tak mengapalah. Elok juga tengok banyak kali kan, at least, apa yang terpapar dalam video itu insyaAllah sedikit sebanyak ada yang melekat dalam minda dan jiwa kita.

Semua video di atas menayangkan realiti di luar negara kita dan sekarang, apa kata kita menonton video yang menunjukkan realiti yang berdekatan kita pula. Penulis ingatkan sekali lagi, tengok dengan mata hati dan akal, ya? Ayuh kita sama-sama saksikan...



Apa komen saudara-saudari?

Pada pandangan pembacalah, program tersebut dibuat di negara mana? Manusia-manusia dalam video itu siapa? Ada nampak saudara-mara atau kawan-kawan kita dalam video itu atau tidak?

Itulah program Macam-macam Aznil. Yang di atas pentas itu ialah orang Islam Melayu, yang menonton di studio itupun Islam. Melayu Mereka itu berada di negara yang bernama Ma......... Erk, malunya nak sebut!!! Sungguh memalukan! Astaghfirullahalazim.

"Hek eleh, orang Arab. Anak imam besar pulak tu. Memanglah diorang baca Quran sedap-sedap. Kita ni? Susah sikit la..."

Mungkin di atas merupakan kata-kata atau alasan yang selalu diungkapkan oleh banyak orang dalam kalangan umat Melayu Islam di negara kita, atau mungkin kita sendiri. Benar atau tidak? Ya, memang benar kita bukan dilahirkan sebagai seorang Arab, bukan di negara Arab. OK, full stop.

Tanpa berlengah panjang, penulis nak ajak pembaca sekalian terbang mengembara sekejap ke negara jiran kita, iaitu Indonesia. Mari kita lihat apa pula realiti di sana.





Cuba kita bandingkan...

Apa bezanya Malaysia dan Indonesia? Kita sama-sama berasal dari rumpun bangsa yang sama, dan sama-sama bertutur bahasa Melayu. Sistem pendidikan kita lebih maju dan moden daripada negara Indonesia tetapi mengapa anak-anak kita tidak terdidik seperti mana anak-anak kecil di Indonesia sana? Du'at cilik versi Pildacil sudahpun menggegar Indonesia dengan pidato dan syarahan agama yang cukup menyentuh hati. Tapi anak-anak kecil Islam Melayu Malaysia? Dididik oleh ibu bapa untuk berlumba-lumba masuk tv, menyanyi sana, menari sini. Di manakah salahnya?

Penulis tengok Nadia berpidato pun penulis dah meremang bulu roma. Jatuh cinta pandang pertama pun ada ;-)

Qari muda dari Bosnia sudahpun hebat mengalunkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran di peringkat antarabangsa.

Anak-anak Palestin tabah menghadapi hidup walaupun mereka sentiasa diserang, dibom, hilang ahli keluarga, kurang kemudahan. Senang kata, mereka hidup dengan penuh kekurangan dan kedaifan.

Biar hilang rumah, jangan hilang kebergantungan kepada Allah.

Anak-anak kecil Indonesia pula tampil di pentas untuk berdakwah. Mendapat pujian daripada ustaz dan ustazah serta tepukan daripada penonton kerana kesolehannya, menjadi sebutan kerana kata-katanya yang menyentuh hati dan iman si pendengar. Seluruh umat Islam Indonesia bangga akan mereka dan mengharapkan mereka ini menjadi anak yang soleh. Semua ibu bapa di sana pula mengimpikan anak-anak mereka menjadi seperti peserta-peserta Pildacil.

Tetapi anak-anak kecil di negara kita... Mereka tampil di pentas dengan membuka aurat, mendapat pujian kerana mendendangkan lagu yang tidak membuahkan langsung iman di dada. Penonton yang terdiri daripada ibu bapa dan kanak-kanak itu sendiri pula terpengaruh oleh dakyah jahiliyyah program seperti Macam-macam Aznil,Tom-tom Bak dan banyak lagi program yang seumpama itu. Cukuplah, penulis sudah muak dengan program-program hiburan yang berlambak-lambak memenuhi kaca televisyen pada hari ini.

ANAK-ANAK KECIL HARAPAN UMAT ISLAM

Selepas peperangan di Gaza pada akhir Disember 2008 yang lalu, seseorang telah bertanya pada Penasihat Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniya.

"Bagaimana para ibu di Palestin mendidik anak-anak mereka menjadi kader dakwah di Gaza?"

Lantas, jawab penasihat itu :

"Kita mempunyai program di pelbagai sekolah. Pada musim sejuk, kami menghafal kitabullah selama dua bulan dan melakukan peperiksaan.

Tidak diizinkan sesiapa jua menyertai program ini kecuali mereka yang mempunyai akhlak yang baik dan terpilih.

Mereka menghafal Quran dari pagi hingga ke malam hari. Mereka tidak berhubungan dengan kehidupan lain.

Dan ada juga yang tidak pulang ke rumah sampai satu minggu. Kita menyediakan makanan untuk mereka. Setelah mereka berhasil menghafal Al-Quran, kami berikan mereka penghargaan.

Jika ada 5000 orang menghafal Quran dalam dua bulan di dalam program ini, masih ada warga lain yang menghafal Al-Quran di luar sana. Jumlah 5000 itu adalah yang hafal seluruh Al Quran.

Yang lain, ada yang menghafal separuh atau dua pertiga Quran. Dan insyaAllah, jumlah penghafal Al Quran menjadi 10000 orang .

Warga Gaza sangat bersemangat mengikuti program ini. Mereka bersedih bila anak-anak mereka tidak dapat menyertainya. Kerana itu mereka mendorong anak-anak mereka untuk menghafal Quran.

Hal itu berlangsung walaupun dalam blockade, seperti tak ada suasana yang mengganggu mereka. Mereka tak terpengaruh diblockade bahkan dalam situasi perang sekalipun. Proses penghafalan Al Quran terus berlanjutan!

Misalnya, di akhir bulan lalu, sejumlah pemuda melakukan penghafalan Al Quran. Malah, semua karyawan media turut sama dalam aktiviti penghafalan. Meskipun mereka menderita, tetapi mereka tidak terpengaruh dengan keadaan di Gaza.

Siapapun yang berkunjung ke Gaza akan melihat ada suasana masyarakat yang tak ada di tempat lain."

Apa yang terpapar dalam video-video di atas, itulah realiti anak-anak kecil pada hari ini. Berdasarkan jawapan Ismail Haniya pula, kita dapat melihat bahawa anak-anak Palestin hidup dengan Al-Quran, dididik dengan Al-Quran, percaya dan beramal dengan Al-Quran. Oleh sebab itu, walaupun Palestin diserang bertubi-tubi oleh rejim Zionis Israel, Palestin tetap dapat bertahan, malah menang pada akhirnya. Persenjataan mereka tidak sehebat Israel tetapi mengapa mereka menang? Kerana Al-Quran ada di dada mereka!

Anak-anak kecil harapan Islam

Apakah anda sudah dapat bayangkan apa pula yang akan terjadi dengan negara kita kelak? Apakah sudi saudara-saudari melihat negara kita yang dikatakan negara Islam ini dipimpin oleh bangsa yang cintakan hiburan? Apalah nasib umat Islam dan negara kita kelak. Oh, apalah nasib kita...

17 December 2009

1431 H - SALAM MAAL HIJRAH




Penulis mengucapkan Salam Maal Hijrah kepada semua pengunjung blog ini. Semoga pada tahun 1431 Hijrah ini kita semua akan lebih baik daripada tahun-tahun yang sebelumnya dalam segala macam aspek.

"Ya Allah, Ya Rabbul Jalil. Dengan sunnah-Mu menjelang kini tahun baru yang telah Engkau tentukan mengikut qada dan qadar di Loh Mahfuz-Mu. Kami meredahnya di bawah Iradah dan Qudrat-Mu. Sebagai makhluk-Mu yang sentiasa mencari keredaan-Mu. Kehadiran tahun baru ini, memungkinkan kami menadah tangan memohon rahman-Mu, kami pertautkan permohonan kami sekental-kentalnya kepada Mu. Kami mengharap perdampingan taufik dan hidayah-Mu yang telah Engkau berikan kepada kami pada masa-masa yang lalu sepanjang usia kami. Engkau sempurnakan perlindungan dan pemberian-Mu yang begitu melimpah kepada kami. Jadikanlah diri kami, hati kami serta seluruh anggota badan kami jati kekuatan, sepertimana Engkau berikan kepada hamba-hamba Mu yang terpilih. Supaya kekuatan ini dapat kami gunakannya sebagai pelindung daripada segala kemungkaran, sama ada yang zahir atau yang batin. Dan dengannya kami dapat kelapangan pemikiran, keindahan kehidupan, kekuatan dalam keyakinan, ketetapan dalam pegangan agama, dan kebaikan untuk diri kami dan orang-orang sekitar kami.

Ya Allah, hindarkan kami daripada segala yang merungsingkan, pemikiran yang membingungkan, pengalaman yang menyedihkan dan menyempitkan dada kami. Kurniakan kepada kami keselamatan dalam pemeliharaan-Mu yang dapat melindung kami dari sebarang kejahatan, keburukan dan kerunsingan. Ya Allah, rahmatilah permintaan kami, terimalah kepasrahan diri kami kepada-Mu, Wahai Penolong hamba yang meminta pertolongan, tolonglah kami. Wahai Pencegah kemusnahan, hindarilah kami dari kemusnahan dan keporak-perandaan. Ya Rahman Ya Rahim! Jadikanlah lipatan tahun baru ini pembuka bagi kejayaan, ketenangan yang menyeluruh untuk kami dan kaum Muslimin keseluruhannya memelihara agama-Mu. Hamparkan di dalamnya hamparan rahmat-Mu sepertimana Engkau berikan kepada hamba-hamba Mu yang terpilih. Rahmat yang dapat menghindarkan segala kepayahan dan kerunsingan. Ya Allah, kekalkanlah tahun-tahun yang akan datang dalam hidup kami dengan catatan kegembiraan, kebahagian dan kelapangan, supaya kami dapat rasakan dalam detik hidup kami kenikmatan yang ada padanya. Ya Allah, jadikanlah tahun yang akan datang, semulia-mulia tahun yang Engkau berkati ke atas kami. Jadikanlah kami orang yang paling bahagia bersama-Mu. Ya Allah, ampunkanlah segala kesalahan kami, dan terimalah kebaikan kami, berkatilah masa, waktu dan segala gerak-geri kami. Amin, amin, amin Ya Rabbal 'Alamin."

16 December 2009

FLYHIGH KEMBALI LAGI!!!

InsyaAllah, pada 29-31 haribulan Januari nanti, program FlyHigh OZ & NZ 2010 akan kembali lagi. Untuk edisi kali ini, program FlyHigh anjuran INTELEK dengan kerjasama iLuvislam. ini akan diadakan di Bukit Cerakah, Shah Alam. Pastinya penganjuran kali ini akan lebih meriah dan gempak dari tahun-tahun yang sebelumnya.


Untuk pengetahuan pembaca, program ini merupakan program pre-departure bagi pelajar-pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke Australia dan New Zealand. Namun begitu, mengikut pengalaman penulis sendiri yang pernah menyertai program FlyHigh '09, peserta-peserta yang akan fly ke negara lain juga boleh menyertai program ini.

Oleh kerana itu penulis rasa terpanggil di sini untuk mempromosi program FlyHigh OZ & NZ 2010 dan seterusnya menggalakkan sahabat-sahabat Pre-France 7 dan 8, ataupun sahabat-sahabat lain yang juga akan berangkat ke luar negara, terutamanya ke negara Eropah supaya menghadiri program FlyHigh 2010 ini.

Penulis yakin dan percaya bahawa sahabat-sahabat tidak akan rugi apa-apa. Berbaloi menyertainya. Manakan tidak, pengisiannya sangatlah memenuhi keperluan para peserta yang akan ke luar negara. Barisan fasilitator dan penceramah pun bukan calang-calang orang. Ada Ustaz Hasrizal! Hehe... Pasti anda yang menyertainya akan dapat mengutip mutiara-mutiara berkilauan daripada mereka yang berpengalaman hidup di luar negara ini. Tambahan pula, penganjurnya ialah INTELEK dan iLuvislam, organisasi yang sangat dikenali ramai.

Mengikut pengalaman penulis, program FlyHigh merupakan antara program terbaik yang pernah penulis sertai, atau mungkin yang terbaik. Pengisiannya sangat mantap, sesuai dengan keperluan semasa para peserta yang memerlukan input-input penting dan gambaran awal tentang suasana cara hidup, belajar dan budaya di luar negara, terutamanya di tempat-tempat para peserta akan melanjutkan pelajaran. Penceramah dan tetamu jemputan dan para fasilitator pun sangat mesra dan hebat-hebat. Penginapan? 5 bintang! Tak percaya? Di ILIM, Bandar Baru Bangi dahulu, 1 bilik disediakan untuk setiap 2 orang peserta. Makanan pun sedap-sedap. Tak tahulah macam mana dengan edisi kali ini tapi penulis jangkakan kualiti penganjuran kali ini tetap diutamakan oleh pihak penganjur. Semestinya tidak akan mengecewakan para peserta.

Untuk maklumat dan gambaran yang lebih jelas, penulis paparkan juga di sini poster dan video bagi penganjuran FlyHigh OZ & NZ 2010.



Di bawah ini pula beberapa gambar sepanjang program FlyHigh '09 yang penulis pernah sertai di ILIM, Bandar Baru Bangi awal tahun ini.

Peserta Muslimin FlyHigh OZ & NZ '09. Ada nampak
penulis tak dalam gambar? Haha...


Ustaz Hasrizal, antara penceramah jemputan. Best, best,
kalaulah berkesempatan, nak dengar ceramah beliau lagi.


Salah sebuah kumpulan peserta semasa sesi LDK.

Peserta Muslimat pun ada.

Inilah kumpulan LDK penulis. Penulis tak kelihatan kerana
terlindung di sebalik badan akhi Haziq yang gagah perkasa.


Jom main baling-baling selipar!

Bagaimana, tertarik untuk menyertainya? Apa lagi, manfaatkanlah cuti atau hujung minggu anda nanti di Bukit Cerakah bersama-sama sahabat-sahabat anda yang lain! Untuk maklumat lebih terperinci, sila layari laman web FlyHigh di http://flyhigh.iluvislam.com/.